MAKAM MAT KILAU
Mat Kilau dipercayai dilahirkan pada tahun 1865/1866 di Kampung Masjid Pulau Tawar, Jerantut, Pahang di dalam zaman pemerintahan Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah. Nama penuh beliau ialah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Ibu beliau ialah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’. Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau. Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, Kampung Kedondong. Hasil perkahwinan ini, Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Mat Kilau merupakan antara pahlawan-pahlawan Pahang yang terkenal.
Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Atas dasar pungutan cukai yang menindas dan keangkuhan pihak penjajah, Mat Kilau, Dato Bahaman dan Tok Janggut bersekutu berganding bahu memulakan pemberontakkan ke atas pihak British. Namun begitu, pihak pemberontak tidak mendapat sokongan Sultan terhadap pergerakkan penentangan British pada masa itu. Sultan yang pada masa itu hanya mementingkan darjat dan talian persahabatan dengan pihak British sanggup mengkhianati bangsa dan rakyatnya sendiri bagi mematahkan pemberontakkan di Semantan.
Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau. Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat. Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah Pawang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali (khatib), Awang (Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau.
Mat Kilau
![]()
Mat Kilau ketika menceritakan sejarah perjuangan beliau setelah muncul
dari persembunyiannya
dan pulang ke Kampung Pulau Tawar, Jerantut