Gulai asam rom diperbuat daripada buah perah atau biji getah yang dijemur sehingga kering dan di tumbuk serta di peram selama lebih kurang satu bulan. Ia dimasak bersama beberapa bahan tertentu seperti pucuk paku, keledek, buah jambal, daun jambal, terung pipit, terung telunjuk, daun kesing, keladi dan kacang botol. Kunyit hidup pula ditumbuk bersama cili padi bagi menambah rasa pedasnya. Masakan ini hanya boleh ditemui di kawasan Jerantut dan amat terkenal di sebelah Tembeling. Ia menjadi makanan yang amat digemari bagi penduduk di sana, malahan kini ianya semakin terkenal di kalangan pelancong yang berkunjung ke Kuala Tahan.
